Apabila kita menoleh ke belakang dan mengimbas kembali detik-detik dan saat-saat manis di dalam kehidupan kita kadang-kala kita tersenyum dan menginginkan detik dan saat itu berulang. Tetapi, apakan daya masa yang telah berlalu itu tidak dapat diulang. Apabila kita terfikir detik-detik pahit contohnya kesilapan-kesilapan yang telah kita buat di masa-masa yang lalu, kita sering menginginkan kita kembali ke masa itu untuk memperbetulkan keadaan. Sebagai manusia yang tidak mempunyai kuasa mengawal masa, kita hanya perlu pasrah bahawa yang berlalu itu kenangan, yang sekarang ini kenyataan dan yang akan datang itu kita sandarkan pengharapan.
Seperti mana yang kita tahu dimana-mana terdapatnya perpatah atau falsafah berkaitan dengan masa. Contohnya di Malaysia kita sering mendengar tentang, "Masa itu emas". Kalau orang putih, mereka kata, "time is gold". Betulkah masa itu emas? Bagi saya, masa itu adalah lebih berharga daripada emas. Ini kerana setiap saat yang berlalu tidak akan dapat diulangi dan walaupun dengan emas, kita tidak dapat mengulangi masa-masa yang kita inginkan. Rison Swett memberikan pendapatnya, "Setiap hari masa mengunjungi kita seperti sahabat yang sedia membawa hadiah-hadiah yang berharga. Apabila hadiah itu kita tidak terima, maka ia akan pergi dan tidak akan kembali lagi. Tiap-tiap pagi dia datang dengan membawa hadiah-hadiah baru. Tetapi jika kelmarin dan kelmarin dulu hadiah-hadiah itu tidak kita terima, lama-lama kita tidak dapat menikmati lazatnya hadiah pemberian masa itu, sebab kita tidak pandai menghargainya. Peribahasa mengatakan bahawa kekayaan yang hilang dapat dicari semula jika rajin, kesihatan yang terganggu akan sembuh jika berubat, tetapi masa yang hilang terbuang tidak dapat dicari selama-lamanya. Sesungguhnya MASA itu sangat berharga dan janganlah mempersia-siakannya. Ada lagu yang bertajuk "Masa muda hanya sekali". Memang benar, sebagai anak-anak muda dan orang-orang yang percaya kita perlu mempergunakan masa itu dengan sebaik mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan